Monday, May 28, 2012

Penangan cinta online

















JIKA anda tidak bijak mengendalikan aplikasi maya seperti Facebook, ia boleh mengundang kemusnahan pada kehidupan.- Gambar hiasan


DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya.
Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak. Bernasib baik kalau surat itu dijawab. Kini, posmen tidak lagi perlu menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta.
Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook, Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan hubungan cinta.
Medium baharu ini juga tidak mengenal usia, sama ada tua atau muda. Sebab itulah, kita selalu mendengar banyak rumah tangga yang musnah kerana cinta online. Ada yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga. Hal sebegini selalu kita dengar.
Cinta online itu juga adakalanya menyebabkan ramai anak gadis kita yang terpedaya. Tidak kurang juga wanita yang berkerjaya. Bahkan, ada yang terperangkap dengan cinta palsu hingga sanggup melabur puluhan ribu ringgit ke akaun kekasih online yang tidak mereka kenali.
Inilah hebatnya cinta dalam talian, malah ada yang patah hati dan tidak kurang juga yang membawa kebinasaan.
Tahun 2006, Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh diri hanya kerana teman lelakinya, Jose, menyakiti hatinya dengan tiba-tiba memutuskan hubungan mereka secara dalam talian.
Dua minggu setelah Jose tidak lagi membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Jose' sebenarnya tidak pernah wujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapakah jejaka palsu itu.
Lantaran medium online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden, banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih 20 juta pengunjung melakukan janji temu secara online sekurang-kurangnya sekali.
Sifat terbuka
Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara dalam talian? Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Messenger tentu pernah merasainya walaupun anda tidak tahu menghuraikannya.

















MEDIUM online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden yang berkesan walaupun tidak memerlukan seseorang itu bersua muka. - Gambar hiasan


Dikatakan bahawa melalui komunikasi online, manusia akan mengalami disinhibition effects. Dalam erti kata lain, dalam keadaan yang bersifat anonymous, didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Dikatakan juga bahawa manusia lebih cenderung menyatakan rasa hati dengan lebih baik jika dibandingkan secara bersemuka.
Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia berfikir dahulu apa yang patut ditulis dan bagaimana untuk mempersembahkan diri. Ia sukar dalam keadaan perhubungan secara fizikal kerana ada hal-hal yang tidak boleh dilakonkan.
Dikatakan juga, komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar (true self). Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.
Sebab itulah, dalam banyak situasi, ada ramai manusia baik yang boleh kita temui secara dalam talian. Bagaimanapun, jangan pula terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini.
Kita sering didedahkan dengan kisah mangsa yang telah dijual ke luar negara kerana terpedaya dengan cinta palsu, sama ada sebagai keldai dadah atau pelacur. Ini adalah antara musibah di sebalik tabir keindahan dunia online.
Kecurangan
Jalinan online juga sebenarnya memberikan kesan terhadap perasaan cemburu manusia. Dulu, rasa cemburu akan timbul kalau ada pasangan yang bermain mata dengan orang lain. Sekarang ini orang tidak bermain mata lagi. Facebook telah menjadi medium baharu yang tidak ada pada zaman sebelumnya.















MANUSIA lebih cenderung untuk bersikap terbuka meluahkan emosi tanpa segan silu melalui komunikasi online. - Gambar hiasan 

 
Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?
Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi yang terarah kepada rangsangan seks dianggap sebagai sama dengan perlakuan melakukan hubungan seks dengan orang lain. Ia dianggap sebagai satu bentuk kecurangan.
Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu bahawa pasangan lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain, seolah-olah pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini dibuktikan dalam banyak kajian.
Bahkan, wanita juga lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan lelaki untuk sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.
Bagaimana dengan anda?
Hakikatnya, medium online bukan sekadar menjadikan kita lebih mudah menjalin hubungan dengan teman-teman lama atau rangkaian perniagaan tetapi ia juga satu cabaran terhadap rumah tangga dan hubungan cinta.
Ia cabaran baharu yang sedang kita lalui. Bergantung sejauh manakah kita bijak memanfaatkannya, ia juga bakal menjadi medium menjadikan hidup manusia semakin huru-hara.

Thursday, May 17, 2012

8 Perkara Yang Tidak Diketahui Tentang Wedding Photographer.


1) Seorang photographer yang komited, mereka akan melaburkan berpuluh ribu ringgit untuk semua peralatan (equipment) fotografi. Kerana apa? Kerana mereka mahu memberikan hasil yang berkualiti tinggi untuk pelanggan mereka.

2) Mereka tiada masa bersama keluarga pada setiap hujung minggu. Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah. Ini sememangnya lumrah. Aku pasti semua isteri-isteri atau suami-suami seorang photographer dah faham sangat akan hal ini.  Inilah masa yang harus di korbankan semata-mata untuk memenuhi kehendak pelanggan.

3) Setiap wedding photographer akan bertanggungjawab ke atas semua majlis perkahwinan. Satu tugas yang berat yang harus mereka pikul untuk merakamkan setiap peristiwa yang menarik di majlis perkahwinan. Mereka akan berkampung di rumah pengantin dari bermulnya majlis akad nikah sampailah selesai majlis. Yang pasti mereka akan berjauhan dengan keluarga.

4) Setiap peristiwa yang berlaku amat penting bagi seorang photographer. Sebab itu mereka sanggup berpanas di tengahari semata-mata untuk merakamkan detik-detik indah sewaktu perarakan. Ini semua kerana apa? Kerana mahu menghasilkan gambar atau photo yang berkualiti.
 
5) Setiap pasangan pengantin sudah pastinya mempunyai aturcara yang berbeza. Walau macam manapun aturcara majlis, photographer tetap tabah menunggu. Baik awal pagi, tengahari, lewat petang ataupun lewat malam. Lewat malam kebiasaanya jika pengantin ada mengambil persalinan. Kadang kala, photographer terpaksa menunggu sehingga pukul 1-2 pagi untuk menyelesaikan sesi fotografi. Ini memang lumrah.

6) Setiap photographer akan memerah otak setiap kali shoot di majlis perkahwinan. Memerah otak bukan setakat untuk posingkan pengantin, tetapi memerah otak untuk mencari angle yang terbaik. Ini yang orang ramai tidak perasan. Daya imaginasi dan kereativiti yang tinggi amat di perlukan pada setiap photographer. Walau dalam apa juga situasi mereka akan sentiasa berfikir, bagaimana untuk menghasilkan photo atau potret yang terbaik.

7) Setiap persekitaran majlis perkahwinan memang berbeza. Ada yang dalam rumah, ada yang luar rumah, ada juga di tepi tasik. Tetapi tahukah anda, setiap persekitaran ini mempunyai cahaya yang berbeza? Inilah yang di titik beratkan oleh photographer. Mereka akan memastikan setiap photo atau gambar yang di hasilkan mempunyai kualiti cahaya yang cukup. Inilah peperangan yang harus di tempuh oleh setiap photographer. Sebab itu, bila sahaja melihat gambar yang dihasilkan terang dan sedap mata memandang. Dan hasil sebegini tidak boleh di hasilkan tanpa skill yang cukup seperti wedding photographer yang ada di luar saja. Dan agak sukar untuk di hasilkan dengan kamera kompak yang biasa.

8)Tugas photographer bukan sahaja akan tamat setelah majlis selesai, tetapi ada lagi tindakan susulan yang harus di langsaikan. Apa tu ya? Tugas memilih dan mengedit photo. Inilah perkara yang amat kritikal untuk photographer. Tugas edditing haruslah di lakukan dengan teliti. Bukan setakat tenaga tetapi masa juga harus di korbankan. Lebih kritikal lagi untuk photographer sambilan. Tetapi dek kerana untuk menghasilkan yang terbaik, mereka sanggup korban segalanya semata-mata memenuhi tanggungjawab dan kehendak pelanggan.


Jemputan Perkahwinan

Dengan salam takzimnya saya, Syed Mohd Arif b Syed Loed (admin), menjemput para pembaca blog ini untuk menghadiri majlis perkahwinan admin:
PADA: 1 Jun 2012 (pihak perempuan)
ALAMAT: N0. 574, JALAN SANTONG, 23100 PAKA, TERENGGANU
MASA: 11.00 AM- 4.00 PM

DAN
PADA: 9 Jun 2012 (pihak lelaki).
ALAMAT: NO. 88, TAMAN KSM,71600 KUALA KLAWANG,  JELEBU, NEGERI SEMBILAN
MASA: 12.00 PM-4.00 PM
Diharap, dengan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pembaca   dapat memeriahkan lagi majlis perkahwinan saya.












Saturday, February 4, 2012

Apakah terlarang bercinta sebelum kahwin?

Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama spouses and partners. Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.

Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta ALLAH, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.

Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta.

Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.


Anti-cinta

Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.

Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri. Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata:

“Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama Juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.


Jatuh cinta

Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang ALLAH dan Rasul-NYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitnah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman ALLAH mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya) “dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). ALLAH mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, ALLAH memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.


Rayuan cinta

Bahkan Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi SAW. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: “Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahu kah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?


Dua kekasih

Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini: “Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).

Justeru itu, Nabi SAW memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci. “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).


Haram

Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitnah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?

Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitnah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.

Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina!

majlis pertunangan arif & iza 22.1.2012

















Maruah wanita di mana nilainya?


“SAYA terkedu apabila dengan tidak sengaja melayari sebuah laman sesawang, mutaah.com yang berfungsi sebagai perantara mengiklankan lelaki yang ingin keseronokan semata-mata tanpa mahu bertanggungjawab menjadi seorang suami yang sewajarnya,” demikian luahan insan prihatin terhadap situasi melanda umat Islam kini.

Berdasarkan dialog di atas jelas menerangkan runcingnya keadaan masyarakat Islam yang seakan tidak dapat membezakan antara halal dan haram. Jika ditanya apa itu nikah mutaah pasti ramai menggeleng kepala, tanda tidak mengerti maksudnya.

Rehal mengungkap sejauh mana kesannya terhadap institusi kekeluargaan dan di mana letaknya nilai wanita apabila perkara itu menjadi duri dalam daging kepada masyarakat yang seolah-olah kembali kepada zaman jahiliah.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof menjelaskan dengan mendalam mengenai perkahwinan itu yang jika dilihat hanya untuk keseronokan dan ia dimonopoli pengamal fahaman Syiah.


HARAM DALAM ISLAM

“Mutaah berasal daripada perkataan mata’a dalam bahasa Arab membawa maksud berseronok. Kahwin mutaah ialah perkahwinan sementara yang dalam akadnya dinyatakan tempoh sama ada seminggu, sebulan, setahun dan mempunyai mahar. Ternyata berbeza dengan perkahwinan dituntut dalam Islam. Kriteria akad nikah mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah menggariskan dalam akad tidak boleh sama sekali menyatakan tempoh.

“Perkahwinan mutaah asalnya daripada tradisi masyarakat Arab semasa zaman jahiliah. Kahwin mutaah biasanya dipraktikkan apabila seorang lelaki memerlukan perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu.

“Ketika Islam mula disebarkan Nabi Muhammad SAW, nikah mutaah ini masih diteruskan kerana ia kuat diamalkan oleh kaum jahiliah, namun pada pembukaan Kota Makkah tahun ke-10 Hijrah (sesetengah riwayat menyatakan pada peperangan Khaibar) ia telah diharamkan untuk selamanya. Walaupun mutaah pernah dibenarkan suatu ketika dahulu, namun keizinannya terhad ketika berperang atau berdagang,” katanya.

Menurut Nabilah, Islam mengharamkan pernikahan seperti itu sama seperti dua pernikahan lain, iaitu kahwin muhalil (kahwin cina buta) dan kahwin sighar kerana tidak selari dengan tujuan disyariatkan nikah, di samping meninggalkan kesan negatif ke atas institusi kekeluargaan.

Terdapat hadis diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib bahawa dia mendengar Rasulullah melarang amalan nikah mutaah (berseronok dengan wanita) dan Baginda bersabda lagi ia haram sehingga hari kiamat.

“Segelintir puak Syiah masih berpegang dengan kata-kata Ibn Abbas mengenai penghalalan mutaah, sedangkan beliau sendiri dalam satu riwayat telah menarik balik hukum tersebut setelah mendengar sabda Rasulullah berkenaan pengharaman mutaah untuk selamanya.

“Jelas bukan? Memang sebelum ini ada hadis yang menghalalkan kahwin mutaah, tetapi diharamkan secara berperingkat dan bukannya sekali gus, memandangkan ia adalah adat yang sukar untuk dipisahkan dengan masyarakat pada zaman itu,” katanya.

Nabilah berkata, banyak sebab kenapa Islam mengharamkan nikah mutaah antaranya tidak menepati pensyariatan perkahwinan, tidak mengikut rukun dan syarat nikah yang sah (wali, saksi dan sebagainya). Juga tidak menjadikan pasangan itu berada dalam ketenangan serta anak yang lahir tidak mendapat pembelaan nasab, pusaka, nafkah dan kasih sayang sewajarnya. Tambahan pula, talak menurut syarak mestilah dilafazkan suami secara terang atau sindiran, namun mengikut sistem mutaah talak berlaku apabila tempohnya berakhir.


WANITA JADI BARANG SEWAAN

“Keadaan ini juga seolah-olah merendahkan martabat wanita dengan menganggap golongan Hawa hanyalah tempat untuk memuaskan nafsu semata, sedangkan Islam mengangkat ciptaan ALLAH ini di tempat yang tinggi.

“Nikah mutaah bertentangan dengan fitrah wanita di mana mereka dijadikan barang sewaan, malah hakikatnya boleh disamakan dengan pelacuran, malangnya pendapat sebegitu tidak dapat diterima fahaman Syiah yang menjadikan ia sebagai amalan tidak bertentangan syarak,” katanya.

Menurutnya , jika berkenan dengan mana-mana perempuan hanya perlu membayar mengikut kemampuan, situasi yang sinonim dengan 'pelacuran'.

Kenapa kita perlu kembali kepada zaman jahiliah dengan menjadikan wanita bahan berseronok sedangkan wanita telah diangkat martabatnya ketika Islam disebarkan. Ia serentak dengan penghapusan sistem perhambaan suatu ketika dahulu diamalkan.

Berdasarkan prinsip Islam, setiap individu, sama ada lelaki atau wanita adalah setaraf tanpa sebarang perbezaan. Firman ALLAH yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan." (surah al-Nahl ayat 14:97)

“Betapa sedihnya saya melihat situasi ini masih diamalkan, dan tidak salah jika saya katakan ia adalah 'pelacuran yang terancang' dan bersistematik walaupun mempunyai mahar dan akad.


RUNTUHNYA INSTITUSI KELUARGA

"Apakah agaknya kesahtarafan keturunan terhasil daripada kahwin kontrak ini?," soalnya.

Nabilah berkata, sistem mutaah anak bukanlah tanggungjawab suami, tidak timbul lagi persoalan nafkah kerana awal-awal lagi tujuan nikah ini hanya untuk mendapat keseronokan secara ‘halal’.

Apabila tamat tempoh perjanjian dalam akad itu terbatallah perkahwinan dan ini bermakna, nafkah anak hasil mutaah tidak mendapat jaminan dan pembelaan sepertimana nikah hakiki.

“Besar implikasinya terhadap keturunan, cuba bayangkan seorang wanita mampu dimiliki ramai lelaki dan anak-anak yang dilahirkan wanita itu mempunyai bapa yang berbeza, malah anak-anak tidak mengenal siapa ayahnya," katanya.

Majlis Perkahwinan Nur Khairunnisa & Mohd fadzli 24.12.2011










Tuesday, January 10, 2012

Nikah Gantung? Sah atau Tidak?

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (akad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah swt menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.” (An-Nur : 32)

Hukum Perkahwinan

Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.

Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.

Nikah Gantung

Banyak betullah istilah-istilah yang digunakan orang melayu dalam pernikahan ni, ada cina buta, ada nikah gantung dan macam-macam lagi. Nikah gantung yang saya faham adalah seperti majlis pernikahan dibuat dahulu dan majlis perkahwinan atau kenduri kemudian. Kebanyakkan orang mengatakan bahawa nikah gantung ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya zina. Sebut-sebut nikah gantung ni selalunya kita dengar kepada anak-anak muda yang masih menuntut ilmu atau mabuk bercinta, takut makwe dan pakwe dirampas orang lain, maka mereka sanggup merancang untuk kahwin gantung.

Sebelum membuat keputusan kawin gantung ni, terlebih dahulu minta izin ibu bapa dahulu, jangan buat ikut nafsu sahaja, sebab masih banyak lagi tanggungjawab yang belum kita selesaikan terutamanya tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang berharap anak mereka memdapat kejayaan dalam pelajaran dan banyak lagi. Kalau ibu bapa bagi kahwin, maka ia tidak menjadi masalah untuk melaksanakan perkahwinan. Redha ibu bapa ini penting sebab di situ ada keberkatannya. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Redha Allah itu atas redha kedua ibu bapa”.

Janganlah kita mengecewakan kedua ibu bapa kita kerana cinta dan perkahwinan tanpa redha mereka. Takut-takut hidup kita tak bahagia dan tidak aman, kerana balasan orang yang mengecewakan atau derhaka kepada kedua ibu bapa akan disegerakan balasannya di dunia.

Dalam hal yang lain juga perlu kita perhatikan, seperti tanggungjawab yang akan dipikul oleh orang yang sudah berkahwin, mampukah dia melaksanakan perkara tersebut seperti memberi nafkah, perlindungan, kebahgiaan dan sebagainya. Kalau mampu maka anda layak untuk berkahwin. Haram berkahwin bagi orang yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Boleh lihat di atas tentang hukum-hukum perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. “ (Al-Baqarah : 233)

Kahwin gantung, mestilah cukup rukun-rukun nikahnya seperti penganting lelaki, penganting wanita, dua orang saksi, wali, ijab dan qabul. Kalau cukup semua ini, maka perkahwinan tersebut sah dan bolehlah pihak penganting bersama. Ada adat melayu kita yang bercanggah dengan syarak seperti penganting yang nikah belum kenduri, tidak boleh bersama lagi. Sebenarnya perkara ini salah, kerana kenduri itu adalah sunat sahaja yang wajib itu adalah akad nikah. Tidak perlulah menghalang pengantin berjumpa atau berdua-duaan, lagipun saat itulah yang paling indah bagi pasangan pengantin.

Tidak boleh bersama bagi penganting lelaki yang belum bayar maskahwin kepada isterinya, kerana maskahwin adalah wajib, jika dia gagal membayarnya, maka dia tidak boleh lagi bersama dengan isterinya. Kalau boleh jangan berhutang maskahwin sebab dia tidak mahal. Beza dengan hantaran, kadang-kadang kita dengar hantaran sampai puluh-puluh ribu. Perkahwinan ini bertujuan untuk mencari keberkatan dan mencari kebahgiaan, janganlah sampai menyulitkan atau memayahkan pihak penganting lelaki dengan jumlah yang tinggi sehingga dia terlibat pula dengan hutang. Penganting lelaki dan perempuan boleh bersama jika wang hantaran belum dibayar, kerana hantaran adalah sunat. Tentang maskahwin pihak pengantin lelaki boleh berbincang dengan pengantin perempuan dengan cara yang baik. Kadang-kadang ada pengantin perempuan yang sanggup berikan duit maskahwin kepada suaminya untuk kegunaan tertentu seperti belajar, yuran dan sebagainya, maklumlah pengantin lelaki masih belajar. Ada setengah wanita dia tetapkan maskahwinnya murah dan ada yang minta Al-Quran sahaja. Apa-apapun berbincanglah dan selesaikanlah segala kesukaran dengan cara yang baik dan hikmah.

Penutup

Apa-apapun sebelum berbuat sesuatu, fikirkanlah dan berdoalah semoga Allah memberikan satu jalan keluar dari segala kesulitan yang berlaku. Perkahwinan ini adalah satu perkara yang baik dan banyak ganjarannya. Di antaranya terhindar dari melakukan dosa, solat boleh khusyuk, mudah melakukan ibadah dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” (Ar-Rum : 21)


Monday, January 9, 2012

Isteri untuk disayang bukan disepak terajang




KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga sudah menjadi impian setiap pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan.

Namun, timbulnya pertelingkahan dalam hubungan merupakan asam garam kehidupan berumah tangga.

Mahu tidak mahu itulah harga yang harus dibayar apabila mereka mengambil keputusan melayari bahtera bersama.

Tidak terkecuali Julia (bukan nama sebenar) yang turut mengimpikan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia di samping suami yang dikahwini atas dasar cinta.

Dia yang mula mengenali suaminya itu pada usia 16 tahun menyulam cinta selama dua tahun sebelum disunting buah hatinya itu.

Setelah setahun mendirikan rumah tangga, suami yang dikasihinya itu dilihat semakin berubah sikap. Daripada seorang yang penyayang, suaminya sering bersikap panas baran.

Tidur bawah jambatan

"Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang masa bercinta, semuanya indah. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda," ujarnya.

Ketika diajak mengimbau perjalanan hidupnya itu, air mata Julia mula bergenang apabila bercerita tentang keperitan yang pernah dilalui dalam hidupnya.

Tiada apa yang lebih menghayat hati Julia apabila dia bersama anak kecilnya itu pernah merempat di bawah jambatan Sungai Klang berdekatan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Damai, Kuala Lumpur selama satu hari.

Semuanya kerana suaminya itu tidak mampu menyewa rumah sehingga memaksa mereka berteduh di bawah jambatan. Suami Julia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikat swasta hanya mampu memperoleh pendapatan RM800 sebulan.


RUMAH Wirda terletak di Ampang Jaya yang menerima pelbagai kes wanita berdepan dengan krisis rumah tangga.

"Masa itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Sudahlah tidak mandi kami terpaksa tidur hanya beralaskan kotak dan surat khabar. Lebih menyayat hati saya kerana anak kami waktu itu baru berusia lima bulan," ujarnya sambil memberitahu perkara itu tidak akan dilupai sepanjang hayatnya.

Kesempitan hidup telah mengubah sikap suami Julia. Jika dulu sewaktu berkasih sayang, belaian dan pelukan menjadi penambat hati tetapi, selepas setahun berumah tangga ia bertukar dengan sepak terajang tanpa belas ihsan.

Tidak tahan didera suami, Julia pernah beberapa kali membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Namun, selepas dipujuk beberapa kali oleh suaminya, dia menarik semula laporan polis tersebut kerana terlalu sayangkan suami.

"Dia berjanji akan berubah setiap kali saya membuat laporan. Mungkin kerana percayakan kata-katanya itu, saya memaafkannya," tutur Julia yang turut bekerja mencuci pinggan untuk menambah pendapatan keluarga ketika itu.

Janji tinggal janji, perlakuan ganas dan kegagalan si suami mengawal sikap panas barannya langsung tidak berubah bahkan, semakin menjadi.

Akhirnya kerana sudah tidak tahan lagi membiarkan tubuhnya menjadi seperti beg tinju Julia nekad melarikan diri.

"Kalau dulu mula-mula saya larikan diri saya tidur di bawah jambatan, kali ini saya memilih untuk berlindung di masjid. Mujur saya menemui seorang imam yang akhirnya membawa saya ke rumah Pertubuhan Inisiatif Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita Selangor dan Kuala Lumpur (Wirda) yang terletak di Ampang Jaya.

"Di sini, saya mendapat perlindungan termasuk makan minum yang turut ditanggung pihak Wirda. Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya saya mendapat tempat perlindungan," ujar anak yatim piatu itu.

Bagaimanapun, Julia bertekad untuk mencari peluang pekerjaan demi menyara kos perubatan anaknya yang menghidap penyakit sawan.

Nasib sama

Nurul (bukan nama sebenar), 30, terpaksa menahan derita lebih 10 tahun kerana campur tangan ibu mertua dan jiran.


NURUL (dua dari kiri) menceritakan semula peristiwa hitam yang pernah dilalui dalam hidupnya kepada wartawan Kosmo.

Dia yang berkahwin atas dasar cinta ketika berusia 18 tahun tidak menyangka campur tangan kedua-dua pihak tersebut menyebabkan dia diceraikan talak tiga.

Nurul yang merupakan pekerja kilang mengakui, kesabaran dia memuncak kerana ditohmah dengan pelbagai fitnah.

"Cuba bayangkan, pagi keluar bekerja dan malam baru balik rumah tetapi, timbul cerita saya suka membomoh penduduk di sekitar kawasan itu.

"Bukan sahaja pelik tetapi, saya sendiri tidak mengetahui motif sebenar jiran termasuk ibu mertua saya mengada-adakan cerita-cerita sedemikian. Walaupun dikata macam-macam saya pekakkan telinga, tutup mata dengan gelagat mereka sebab sayangkan rumah tangga.

"Keadaan bertambah teruk apabila ibu mertua menyampaikan cerita-cerita terbabit kepada suami. Apabila sampai ke telinga suami, apa lagi kalau bukan sepak terajang yang saya dapat," tuturnya menahan sebak.

Bagaimanapun, episod malang itu tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya dugaan dan fitnah yang datang semakin bertimpa-timpa.

Tohmahan semakin menjadi-jadi sehingga memaksa suami terus menjatuhkan talak tiga disebabkan terlalu marah.

"Ekoran kehilangan tempat berteduh, saya menghubungi abang untuk membantu saya mencari tempat perlindungan. Kemudian dia membawa saya ke Wirda," katanya.

Bagaimanapun, Nurul tidak pernah menyesal atas nasibnya yang berkahwin muda, wanita ini reda ketentuan Ilahi untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Nasihat saya, jangan terlalu bergantung harap kepada lelaki kerana zaman bercinta dan berumah tangga amat berbeza dan sukar diramal," ujarnya.

Bagi pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, seseorang wanita yang dikahwini itu bukan untuk dikasari.

"Mereka perlu diberi kasih sayang sepenuhnya kerana golongan wanita memberikan lebih daripada itu untuk suami dan keluarga. Contohnya mereka sanggup berkorban menahan kesakitan demi melahirkan zuriat buat suami," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil seseorang wanita yang didera beliau menyarankan, golongan tersebut mesti berani bertindak dengan melaporkan perkara itu kepada ahli keluarga terdekat seterusnya pihak berkuasa.


FARIDAH (kanan) bermesra dengan anak salah seorang penghuni Wirda.

"Dengan cara itu, mereka boleh membantu diri sendiri dan menyelamatkan diri untuk keluar daripada belenggu itu.

"Jadi, jangan hanya berdiam dan melayan kesengsaraan itu seorang diri," jelasnya lagi.

Sementara itu, Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, kebiasaannya seorang wanita tidak sanggup membuat aduan laporan polis terhadap penderaan yang dilaluinya.

"Ia kerana mereka khuatir akan ditinggalkan si suami. Walau bagaimanapun, mereka perlu sedar sekiranya penderaan itu sudah mencapai pada tahap kritikal iaitu boleh membawa risiko maut jadi sudah tiba masanya untuk mereka berani tampil untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa," jelasnya.