Friday, December 25, 2009

Beli Majalah Murah, Dapatkan Idea Berkualiti.

Hari ni saya akan kongsikan tips untuk mendapatkan idea pose pengantin yang cantik dan menarik. Mudah dan murah. Hasilnya memang menarik dan yang paling penting membantu kita dalam mencari idea dengan cepat.

Bagaimana?

Ok, apa yang rakan-rakan boleh buat ialah membeli majalah tentang perkahwinan keluaran yang telah lepas. Contohnya 2 atau 3 bulan yang lepas. Biasanya untuk majalah seperti ini kedai akan menjual dengan harga yang murah sekali, 3-5 majalah dalam satu pakej beharga RM3-RM10. Amat berbaloi-baloi.

Pilih majalah yang mempunyai gambar yang cantik. Biasanya majalah kahwin dari Hong Kong dan Taiwan gambarnya memang menarik dan kreatif. Jika dapat majalah ‘mat saleh’ pun ok juga. Tapi mungkin mahal sedikit.

Apa faedahnya? Dengan melihat gambar-gambar dari majalah atau buku, kita akan mendapat lebih banyak idea. Dalam masa yang sama, kita boleh gunakan gambar pose dari majalah ini untuk ditunjukkan kepada pelanggan kita.

a, contoh pose untuk pelanggan kita. Tak semua pelanggan kita tahu untuk pose depan kamera. Ramai yang malu dan kaku. Di sini lah kelebihannya. Tunjukkan gambar pose dari majalah kepada pelanggan. Pelanggan lebih mudah faham untuk mengikut pose dengan gambar contoh yang kita tunjukkan.

Untuk lebih kemas, potong dan tampal gambar yang kita pilih di atas kertas putih atau hitam. Masukkan ke dalam album atau file untuk dijadikan rujukan kepada pelanggan yang lain.

Memuat turun gambar dari internet pun boleh juga, tetapi kita perlu mengeluarkan sedikit kos untuk mencetaknya. Terpulang kepada kita apa cara yang kita mahu gunakan. Yang penting dengan menunjukkan gambar pose kepada pelanggan, ianya akan memudahkan kita dan pelanggan.

Tak percaya? Rakan-rakan boleh cuba cara ini dan lihat perbezaannya.

Thursday, December 24, 2009

Bagaimana Caranya Memusnahkan Pesaing Anda

Dalam apa sahaja perniagaan, semestinya ada mempunyai
pesaing. Pesaing adalah lumrah dalam perniagaan. Adakah pesaing baik
atau tidak baik untuk perniagaan anda?

Ada yang akan kata pesaing adalah baik. Ada juga yang mengatakan
pesaing adalah tidak baik untuk perniagaan. Sekiranya anda tanya
pada saya, saya tidak suka pesaing dalam perniagaan :)

Semestinya dalam perniagaan, pesaing adalah antara faktor utama
yang menentukan keuntungan perniagaan kita. Berita baiknya,
terdapat strategi cara bagaimana anda boleh memusnahkan pesaingan
dalam perniagaan anda dan menggandakan keuntungan perniagaan anda!

Bagaimana caranya memusnahkan pesaing? Adakah dengan cara kita
memburuk-burukkan pesaing kita?

Sudah pastinya tidak. Kerana, dengan memburukkan pesaing kita, 10
lagi orang akan memburukkan perniagaan kita!

Adakah caranya menurunkan harga supaya harga kita lebih rendah dari
pesaing kita?

Memang ia antara strategi, tetapi, menurunkan harga akan
menyebabkan peperangan harga yang mana kedua-dua pihak akan rugi.

Adakah caranya menambahkan kualiti produk dan perkhidmatan anda?

Zaman ini, kualiti adalah satu kemestian. Ianya adalah kemestian
untuk berniaga. Bermakna, produk anda berkualiti, peroduk pesaing
juga adalah berkualiti. Sukar untuk bersaing pada kualiti oleh
kerana semua usahawan akan mengejar kualiti dan meletakkannya
sebagai keutamaan.

Minda Kaya vs Minda Miskin

Apa yang menjadikan seseorang itu kaya atau tidak, semuanya bergantung kepada minda. Untuk menjadi kaya, kita perlu mempunyai minda kaya. Artikel saya kali ini adalah untuk membincangkan perbezaan minda kaya dan minda miskin.

Sebelum itu, ingin saya jelaskan bahawa, dalam konteks minda, bukan maksudnya minda kaya adalah lebih baik dari minda miskin. Keadaan minda kaya akan membuka peluang-peluang yang terdapat disekeliling kita, manakala dengan mempunyai minda miskin, kita akan terasa bahawa peluang di sekeliling kita seperti tertutup.

Minda kaya fikir besar, manakala minda miskin fikir kecil

Minda kaya mempunyai matlamat. Bukan sahaja matlamat biasa, tetapi matlamat luar biasa- matlamat yang besar. Dengan mempunyai matlamat yang besar, minda kaya mempunyai satu fokus untuk dituju. Tanpa matlamat, sudah pasti kita tidak dapat melihat kearah mana kita harus pergi.

Minda kaya menetapkan matlamat setinggi bintang. Sekiranya berusaha, tetapi tidak capai, masih lagi akan mencapai bulan.

Minda miskin pula berfikiran kecil. Sering kali, mereka adalah dalam lingkungan 98% masyarakat yang tidak mempunyai matlamat. Sekiranya ada matlamat pun, mungkin matlamatnya kecil, seperti ingin mencari wang secukupnya untuk tanggung perbelanjaan bulan depan! Dan bulan depan pula, bermatlamatkan yang sama- "ingin mencari wang yang secukupnya untuk bulan akan datang!"

Minda miskin mempunyai matlamat yang kecil dan mempunyai matlamat jagka masa yang pendek. Manakala minda kaya mempunyai matlamat yang besar dan berfikir jauh sejauhnya kehadapan!


Minda kaya melihat 2 pilihan, manakala minda miskin melihat hanya satu pilihan
Seseorang yang mempunyai minda miskin akan melihat 1 sahaja pilihan, seperti, sama ada inginkan kekayaan ATAU kebahagian. Ingin menjalankan perniagaan ATAU meluangkan masa dengan keluarga. Ingin memberi dedikasi kepada mencari harta ATAU memberi dedikasi kepada keluarga.

Minda kaya tidak melihat sebagai 1 pilihan sahaja, tetapi segalanya mempunyai pilihan. Mengapa tidak inginkan kekayaan DAN kebahagiaan? Ingin menjalankan perniagaan DAN meluangkan masa dengan keluarga. Ingin dedikasikan diri mencari harta DAN memberi dedikasi kepada keluarga.

Tiada siapa yang kata kita hanya mempunyai 1 pilihan dalam hidup. Kita mempunyai berbagai-bagai pilihan dan kita patut seimbangkan apa sahaja yang kita lakukan. Menjadi seimbang adalah dengan memiliki kedua-duanya.

Minda kaya melihat orang kaya dengan perasaan inspirasi, manakala minda miskin melihat orang kaya dengan perasaan benci

Mereka yang mempunyai minda kaya akan mendapat rangsangan dan inspirasi dari melihat orang-orang berjaya yang lain. Rangsangan tersebut akan memberi motivasi kepada mereka untuk turut serta menjadi hebat. Satu teknik kejayaan yang penting dipanggil teknik role-model di mana, kita menjadikan kejayaan seseorang lain sebagai dorongan untuk kita juga menjadi berjaya. Minda kaya sering mempunyai role-model yang positif.

Manakala minda miskin pula melihat mereka yang berjaya dan mereka yang kaya dengan perasaan iri hati, dan adakalanya benci. Minda miskin akan mengejek dan memberi respons-respons negatif apabila melihat orang berjaya. Mungkin minda akan berbisik "Eleh... bawak mercedes... mesti songlap duit syarikat" atau "Eleh... dah kaya-kaya macam ni, mesti kaki perempuan"

Apa yang terjadi pada mereka yang mempunyai minda miskin adalah, mereka memenuhi minda sendiri dengan kata-kata negatif yang berkaitan dengan orang yang kaya dan berjaya. Apabila segalanya negatif yang digambarkan untuk mereka yang kaya, bagaimana pula diri sendiri "mahu" menjadi kaya. Sudah tentunya secara tidak sedar diri sendiri "takut" untuk jadi kaya oleh kerana takut nanti orang kata kita ni songlap duit syarikat dan kaki perempuan pula!

Jadi, berhati-hati apa yang anda katakan di minda. Jangan sampai memakan diri sendiri!


Minda kaya bergaul dengan minda kaya yang lain, minda miskin bergaul dengan minda miskin yang lain

Pepatah Mat Salleh berbunyi "If you want to fly with the eagles, you cannot be joining the turkeys".

Maksudnya, untuk berjaya, kita perlu dekatkan diri kita dengan orang-orang berjaya yang lain. Orang berjaya yang mempunyai minda kaya. Berita baiknya adalah, minda kaya boleh berjangkit! Sekiranya kita sering berdampingan dengan orang yang berjaya, minda kita juga akan turut menjadi minda kaya. Oleh sebab itu kita sering lihat, mereka yang berjaya sering mendampingi mereka yang berjaya yang lain- kerana ingin minda berjaya menjangkiti minda masing-masing!

Berita buruknya pula adalah, begitu juga dengan minda miskin. Ia juga berjangkit! Sekiranya kita sering mendampingi mereka yang tidak berjaya, maka, kita juga akan berfikiran seperti mereka.

Kita akan menjadi sama seperti kumpulan kenalan yang kita dampingi. Bukan hendak kata jangan kawan dengan mereka yang tidak berjaya, tetapi, maksud daya adalah buka fikiran untuk mendekati mereka yang berjaya juga. Silap-silap, kenalan-kenalan minda miskin anda pula akan terjangkit dengan anda dan menjadi minda kaya! Semuanya menang!

Minda kaya fokus kepada peluang, manakala minda miskin fokus kepada halangan
Minda kaya akan sering fikirkan idea-idea baru dan peluang-peluang baru. Minda kaya adalah kreatif melihat peluang.

Kreatif? Bagaimana kalau kita tak kreatif? Mudah sahaja... fikirkan bahawa "kreatif" maksudnya "menjadikan lebih baik". Kini, mudah untuk sesiapa sahaja menjadi "kreatif". Kerana, anda hanya perlu fikirkan, bagaimana hendak menjadikan sesuatu itu lebih baik?

Minda kaya akan sering melihat peluang, sehingga seringkali, halangan dihadapan tidak dapat dilihat kerana apa yang mereka fokus adalah peluang.

Minda miskin pula fokus kepada halangan. Hendak mulakan perniagaan, dikatakan tiada modal. Hendak membuat jualan, dikatakan tidak pandai berbahasa Inggeris, hendak berjumpa pelanggan, di katakan tak cukup masa. Semuanya adalah halangan yang bertopengkan alasan.

Tiada modal? Kita mulakan perniagaan kecil tanpa modal! Tidak pandai berbahasa Inggeris? Kita beli akhbar berbahasa Inggeris dan belajar perlahan-lahan. Tak cukup masa? Kita belajar cara menguruskan masa dengan lebih efisyen- itulah pemikiran minda kaya. Tiada alasan, tiada halangan. Cuma peluang!

Berhenti sebentar dan fikirkan dimanakah kedudukan minda kita. Adakah kita mempunyai minda kaya, atau kita mempunyai minda miskin. Pilihannya ditangan empunya badan- pilihannya di tangan empunya minda- diri kita sendiri!

Oleh: Irfan Khairi

BAHAYA! TABIAT MEMBUANG MASA

Pepatah mengatakan "Angin yang sama meniup kita, ianya bergantung
kepada kita untuk melayarinya". Setiap insane mempunyai jumlah
waktu yang sama dalam sehari, iaitu 24 jam. Apa yang menentukan
kejayaan seseorang itu adalah kecekapannya dalam mengurus 24jam
sehari nya.

Tabiat membuang masa, atau sering dikenali sebagai
"proscastinantion" adalah tabiat yang merugikan kita. Sering kali,
kita menunda-nundakan sesuatu kerja, sehingga produktiviti kita
untuk mencapai kejayaan menurun.

Berikut adalah 4 cara bagaimana anda boleh membuang tabiat buang
masa ini:

MATLAMAT DIKECILKAN

Seringkali kita membuang masa oleh kerana melihat sesuatu kerja itu
terlalu besar untuk ditangani. Adakalanya matlamat yang terlalu
besar menyebabkan kita kurang berkeyakinan dan kurang bermotivasi
untuk mencapainya. Dilihat seperti kerja yang bakal dilalui amat
besar dan tidak kesampaian!

Apa yang anda harus lakukan adalah, pecahkan matlamat yang besar
itu kepada matlamat yang lebih kecil. Matlamat untuk mengumpul 10
ribu ringgit mungkin bunyinya besar, tetapi sekiranya dipecah
kepada unit yang lebih kecil, iaitu menyimpan RM500 setiap bulan,
matlamat akan tercapai juga dalam masa 20 bulan

TINGKATKAN KEKUATAN TENAGA

Sering kali kerja ditunda atau kerja tidak dapat disiapkan adalah
kerana badan kita terasa penat. Mata kita terasa mengantuk dan
tubuh kita tidak rasa selesa untuk meneruskan sebarang kerja.

Sebab ini adlaah, tidak kira sekeras mana anda kerja, tidak kira
berapa jam anda melakukan tugas anda, sekiranya badan anda tidak
mampu menahan bebanan tersebut, produktiviti anda akan berkurangan.

Ambil masa untuk berehat. Tubuh manusia boleh bertahan pada tahap
produktiviti yang tinggi dalam lingkungan 8-9 jam sahaja. Itu pun
sekiranya mempunyai tubuh yang sihat. Adakalanya, dengan hanya
melelapkan mata atau menambahkan masa tidur anda di malam hari, ia
akan menyegarkan semula tubuh anda untuk menjadi lebih produktif
pada keesokan hariinya. Sekiranya anda sering tidur 5-6 jam sahaja
oleh kerana kerja yang banyak, saya cadangkan anda tambahkan masa
tidur anda untuk menyegarkan tubuh anda.

Lakukan aktiviti senaman dari masa ke semasa, kata pakar kesihatan
tidak semestinya anda bersenam setiap hari, walaupun bersenam
setiap hari adalah terbaik. Tetapi, beri masa untuk bersenam selang
beberapa hari untuk menguatkan lagi tubuh anda dan daya ketahanan
badan anda dengan tekanan kerja.

Jaga makan dan minum anda. Kita di Malaysia adalah dalam keadaan
disadvantage oleh kerana makanan kita agak berat jika dibandingkan
dnegan makanan barat. Tetapi, perhatikan daya ketahanan mereka di
barat gaya sihat. Tubuh mereka lebih kuat walaupun umur meningkat.

Makan seperti ahli sukan dan bersenam selalu. Tubuh anda akan rasa
sihat, badan anda akan rasa segar- ia akan menambahkan produktiviti
kerja anda. Tiada lagi rasa malas dalam memulakan sesuatu kerja!
Rujuk majalah Maskulin anda untuk tips-tips kesihatan yang
sememangnya akan menjadikan insan yang lebih produktif!

SUARA POSITIF

Bagaimana tindakan kita bergantung kepada suara yang sering kita
masukkan di dalam minda kita. Buang segala suara-suara negative
seperti saya akan gagal. Saya tidak dapat melakukan kerja ini.
Orang lain tidak akan suka dengan hasil kerja saya. Gantikannya
dengan suara suara positif- saya akan berjaya, saya akan menyiapkan
kerja ini dengan sempurna dan orang akan memuji hasil kerja saya.

Jadi seorang yang optimis dan berfikiran positif, ini akan
memudahkan segala kerja yang anda lakukan. Walaupun mungkin keadaan
sekeliling menyebabkan perasaan anda lemah dan tidak bermaya,
masukkan gambaran-gambaran positif di minda anda.

Terdapat satu istilah ini mengatakan bahawa kita gembira oleh
kerana kita menyanyi. Dan bukan sebaliknya kita menanyi kerana kita
gembira!

Mereka yang optimis akan...
- Sering melihat segala kebaikan di keliling anda dalam apa
keadaan sekali pun
- Pelajari daripada apa sahaja kesusahan yang dilalui dan terima
dengan hati terbuka
- Sering mencari penyelesaian daripada maslalah, dan bukannya
memperbesarkan suatu maslaah.

Orang yang berjaya sering mencerita tentang matlamat mereka. Mereka
sering berceirta tentang masa depan dan bukan mengungkit masa
silam. Lebih positif diri kita, lebih bersemangat dan lebih
produktif kerja yang dilakukan oleh kerana kita akan menjadi
seperti apa yang kita fikirkan selalu. Fikirkan boleh!

PRINSIP 80-20

Bagaimana kalau saya katakan anda boleh menjimatkan 2 jam dalam
setiap hari anda. Sudah tentu, bunyinya agak menarik!

Prinsip Pareto ini mengatakan bahawa 20% daripada masa yang di
ambil untuk menyiapkan sesuatu tugasan adalah untuk 80% hasil
daripada tugas tersebut. Dalam erti kata lain, produktiviti anda
akan menurun selepas 20% masa anda diambil!

Oleh itu, bagaimana caranya menggunakan prinsip ini untuk manfaat
anda?

Mudah sahaja. Apabila anda ingin melakukan sesuatu tugas,
bentangkan tugasan tersebut di hadapan anda dan fikirkan strategi
bagaimana anda perlu menangani tugas tersebut. Apabila anda sudah
bersiap sedia dengan apa yang anda perlukan, terus mulakan tugasan
tersebut. Jangan berhenti, dan teruskan sahaja sehingga anda data
menyiapkan apa yang anda termampu. Mungkin ianya mengambil 1 jam...
atau 2 jam. Apa sahaja yang anda mampu lakukan, lakukannya.

Kemudian, berhenti! Ya... berhenti dari melakukan tugasan tersebut.
Ini kerana, anda telah mengambil 20% daripada masa anda yang
benar-benar produktif dalam menyiapkan kerja tersebut. Namun, kerja
tersebut sudah 80% siap!

Apa yang anda perlu laku kini adalah, alihkan perhatian anda kepada
kerja atau tugas yang lain. Mulakan tugas baru dan tidak perlu
hiraukan tugasan tadi. Untuk tugasan baru juga, lakukan yang sama
iaitu, beri tumpuan yang khusus 20% daripada masa yang perlu
diambil, kemudian berhenti. Lakukan perkara yang sama pada tugasan
yang lain.

Dengan melakukan prinsip pareto ini, anda dapat menyiapkan 80%
daripada kerja di tangan dalam 20% masa anda sahaja. Selepas
kesemua 80% tugas anda selesai, anda boleh kembali kepada tugasan
asal untuk menyiapkan 20% sehingga selesai. Kini, keadaan anda
sudah segar daripada tugasan asal, dan produktiviti meningkat
semula.

Dengan menggunakan strategi Pareto ini, anda pasti teruja dengan
kecekapan anda menangani masa menyiapkan beberapa kerja serentak!

Fikirkan tak Boleh!?

Perasaan ini sering berada pada majoriti masyarakat. Ramai
memandang rendah dengan kebolehan diri sendiri- perasaan fikirkan
tidak boleh.

Perasaan ini adalah perasaan yang sering bercakap pada diri sendiri
bahawa "Saya tidak boleh melakukannya. Saya akan gagal". Setiap
kali peluang atau keadaan hadir didepan anda, pemandangan anda
menjadi kelabu dengan fikiran tidak boleh ini.

Pakar psikologist, Abraham Maslow mengatakan; memandang rendah
dengan kebolehan sendiri terjadi adalah kerana secara sedar ataupun
tidak, seseorang itu telah menerima di fikirannya bahawa tiada apa
yang dia boleh lakukan untuk mengubah keadaan dirinya.

Teringat saya dengan cerita Eddy Murphy The Nutty Professor (di
mana Eddy Murphy menjadi seorang yang gemuk Professor Sherman) dan
ketika beliau ingin menurunkan berat badannya, beliau ke gym dan
bersenam sambil berkata "Yes I can!... Yes I can!".

Anda juga perlu menjadi seperti ini (bukan menjadi gemuk!). Setiap
kali anda ingin membuat perubahan kepada diri anda, lawan fikiran
dalaman anda yang sering mengatakan "tidak boleh" kepada "Saya
Boleh! Saya Boleh".

Teknik melawan fikiran tidak boleh ini dinamakan affirmation dan
walaupun bunyi kelakar (corny), ia amat efektif. Ulangkan dengan
megucap "Saya boleh" berkali kali... perlu ucapkan! Bukan cakap
dalam hati sahaja

Sunday, December 13, 2009

Malang Tanpa Bau

Ini adalah koleksi tragedi yang berlaku di sekeliling kita yang saya ada setelah berjinak-jinak dengan dunia fotografi digital sejak pertengahan tahun 2007. Ada diantaranya saya jumpa secara tidak sengaja. Oleh itu beringat2 lah kita supaya perkara seumpama ini tidak berlaku kepada kita kerana semua yang berlaku ini adalah berpunca dari kecuaian manusia.