Tuesday, July 27, 2010

Konsep pemilikan dalam Islam

ISLAM tidak pernah menyekat dan menghalang manusia dari memenuhi tuntutan naluri dan fitrah mereka. Malah Islam mendidik cara yang betul bagaimana tuntutan naluri tersebut boleh dipenuhi.

Dalam Islam, pemilikan mutlak adalah hak Allah SWT. Manusia hanya 'meminjam' daripada Allah untuk membantunya mengabdikan diri kepadaNya.

Dalam hal pemilikan, selain berkaitan dengan persoalan keagamaan ada dua pihak diiktiraf oleh syarak yang boleh menerima pemilikan.

Pertama, Syakhsiyah tobi'iyyah ataupun manusia itu sendiri. Seseorang individu itu boleh memiliki harta kerana mereka diciptakan oleh Allah mempunyai keupayaan untuk memiliki dan mengawal harta berkenaan.

Di samping itu, ia juga mempunyai kebolehan memindahkan harta di bawah pemilikannya kepada pihak lain.

Pihak yang kedua pula adalah Syakhsiyah i'tibariyyah seperti syarikat dan institusi. Fiqh Islam telah mengiktiraf institusi-institusi seperti yayasan, pertubuhan, syarikat, masjid sebagai mempunyai keperibadian yang menyerupai manusia dari sudut keahlian untuk memiliki, sabitan hak dan melaksanakan kewajipan.

Maka dibolehkan institusi-institusi berkenaan memiliki harta dan kawalan terhadap harta tersebut diwakili oleh individu tertentu.

Baitul Mal boleh mewarisi harta bagi orang yang tidak mempunyai waris, kadi tidak perlu membayar diat jika berlaku kesilapan dalam keputusannya terhadap kes-kes yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT kerana beliau mewakili ummah dan sebagainya.

Namun untuk mengawal berlakunya penyelewengan dalam konteks ini, perlu ada kumpulan individu yang amanah dan berilmu menguruskan institusi berkenaan. Terutama dalam membuat keputusan membabitkan pihak pengurusan, pihak lembaga pengarah, pemegang amanah dan sebagainya.

Maka institusi juga boleh memindahkan hak milik dan mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

Konsep ini secara umumnya diterima oleh semua fuqaha. Untuk lebih memahami konsep ini, sebagai contoh dalam sistem takaful, tabung atau dana tabarruk boleh dianggap sebagai Syakhsiyah I'tibariyyah.

Tabung berkenaan bertujuan mengumpul sumbangan derma daripada setiap peserta takaful bagi membantu peserta yang ditimpa musibah.

Pengendali takaful pula bertindak sebagai pemegang amanah menguruskan tabung berkenaan.

Dari sudut konsepnya, tabung berkenaan mempunyai hak sebagai Syakhsiyah i'tibariyyah kerana ia berhak memiliki dan menunaikan kewajipan mengikut syarat-syarat dan terma yang telah dipersetujui.

Milik atau pemilikan adalah hubungan manusia dengan harta yang diakui oleh syarak. Di mana harta itu dikhususkan kepada seseorang manusia dan membenarkannya untuk mentadbir harta tersebut mengikut kehendaknya selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Dari segi bahasa, 'milik' adalah pemilikan harta oleh manusia dan penguasaannya ke atas harta itu. Bererti, dia sahaja yang mempunyai kuasa dalam mentadbirnya. Ahli-ahli fiqh secara umumnya memberi definisi berbeza tentang harta.

Namun, semuanya mempunyai kandungan maksud yang sama dan tidak mempunyai perbezaan yang ketara (al-Zuhayliyy 2002 :4 /57).

Islam bukan sahaja mengiktiraf hak setiap pemilik harta menikmati faedah daripada harta kepunyaannya. Malah mengiktiraf hak pemilik itu menguruskannya semasa hidup dan sesudah meninggal dunia.

Mengikut perspektif Islam, individu atau institusi hanya layak memiliki harta dengan cara dan kaedah yang diharuskan oleh syariah sahaja. Ia seperti dengan cara belian, sedekah, hadiah, warisan dan sebagainya.

Contohnya, seorang pelanggan yang membayar duit membeli sesuatu barangan, berhak mendapat barangan tersebut setelah membayarnya. Maka barang yang diperolehi itu menjadi miliknya, walaupun pada peringkat awal berada di bawah milikan si penjual.

Individu tersebut juga berhak dan layak memiliki sesuatu dengan cara usaha (kasb), tanpa melibatkan modal dan pembelian. Contohnya, ejen takaful yang berusaha mendapat pelanggan berhak mendapat komisen sebagai upah di atas kerja yang dilakukan.

Atas usahanya mempromosikan produk, menyampaikan mesej syarikat dan memberi khidmat kepada peserta, maka dia layak mendapat komisen.

Dalam kontrak mudharabah, seorang pekerja (mudharib) layak mendapat sebahagian keuntungan perniagaan yang dilakukan walaupun dia tidak mengeluarkan modal.

Sebaliknya, Islam tidak mengiktiraf pemilikan harta oleh individu dengan menggunakan harta yang haram walaupun ia sudah berada dalam tangannya atau di bawah jagaannya.

Islam juga tidak mengiktiraf pemilikan yang terhasil daripada cara haram seperti melalui perjudian, pelacuran, riba, rasuah dan sebagainya.

Malahan, jika harta itu didermakan atau disedekahkan, ia tidak akan diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim, 3/85 ).

Maka apabila seseorang itu memiliki harta yang haram, haram baginya mengambil manfaat daripada harta tersebut. Dia hendaklah melupuskan harta haram berkenaan sebagaimana yang digagaskan oleh syariah.

Namun, Allah SWT maha pengampun lagi maha penyayang. Allah sentiasa membuka ruang kepada hamba-Nya untuk bertaubat.

Pemilik harta haram yang ingin bertaubat perlu melupuskan harta berkenaan sebagai salah satu syarat untuk bertaubat.

Cara terbaik adalah memulangkan harta itu kepada tuannya. Jika tuannya sudah meninggal dunia, maka perlulah diserahkan kepada warisnya.

Jika tidak diketahui atau gagal menemuinya, maka bolehlah diserahkan kepada fakir miskin. Namun, derma dan sumbangannya kepada fakir miskin itu tidak mendatangkan sebarang pahala daripada Allah SWT. Sebaliknya, ia hanya satu kaedah yang wajib dilakukan untuk bertaubat.

Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)". (riwayat al-Hakim)

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Saturday, July 10, 2010

16 Sebab Kegagalan Perniagaan

Sudah pasti, tiada siapa inginkan kegagalan dalam perniagaan, namun kegagalan perniagaan tetap terjadi. Ianya dikatakan lebih daripada 90% perniagaan yang dimulakan mengalami kegagalan.

Berikut adalah sebab-sebab kegagalan perniagaan. Pastikan anda menjauhinya!

1: Tiada matlamat
Tiada matlamat yang jelas apa yang ingin dicapai oleh perniagaan yang dibina. Apakah matlamat perniagaan anda dalam masa 1 tahun dari sekarang? Apakah matlamat perniagaan anda dalam masa 3 tahun dari sekarang? Apakah matlamat perniagaan anda dalam masa 5 tahun dari sekarang? Apakah matlamat perniagaan anda 10 tahun dari sekarang? Matlamat akan menentukan arah tuju sesuatu perniagaan. Tanpa matlamat yang jelas, perniagaan tidak mempunyai daya dan motivasi untuk berkembang.


2: Tidak mengutamakan pelanggan
Pelanggan merupakan aset utama apa sahaja perniagaan. Utamakan pelanggan oleh kerana apa sahaja perniagaan berfungsi untuk memenuhi keperluan pelanggan. Ianya sering dikatakan dalam buku-buku perniagaan bahawa pelanggan adalah raja!

3: Tidak usahakan jualan
Keuntungan perniagaan datangnya dari jualan. Amat jarang sekali sesuatu jualan akan datang dengan sendiri. Usahawan perlu mengusahakan untuk mendapatkan jualan. Pastikan momentum diteruskan untuk mendapat jualan demi jualan oleh kerana tanpa jualan, tiada keuntungan!

4: Tidak sabar
Naluri ramai usahawan adalah untuk menjadi kaya dengan segera. Perniagaan perlu dilihat untuk mendapat keuntungan jangka waktu panjang dan bukan meraih keuntungan maksima pada jangka waktu singkat.

5: Gagal meletakkan prioriti
Ianya dikatakan, 20% daripada usaha akan menghasilkan 80% daripada pulangan. Kesilapan ketara bagi mereka yang tidak bijak meletakkan prioriti adalah memberi fokus kepad 80% usaha perniagaan yang hanya memberi 20% daripada pulangan. Agihkan kerja-kerja perniagaan yang tidak memerlukan masa dan tenaga anda kepada orang lain supaya tenaga dan masa anda dapat ditumpukan pada aktiviti 20% yang memberi keuntungan 80%.

6: Melakukan sesuatu di luar bidang
Sebaiknya, jalankan perniagaan di mana letaknya kekuatan anda. Memulakan perniagaan yang bukan dalam kekuatan anda hanya akan mengurangkan motivasi anda.

7: Tidak mempunyai daya saingan pada produk atau perkhidmatan
Persaingan semakin sengit dalam arena perniagaan. Sesuatu perniagaan perlu mempunyai daya saingan yang hebat berbanding dengan pesaing dari segi lebih baik, atau lebih murah, atau lebih pantas dari pesaing. Tanpa daya saingan untuk membezakan anda dengan pesaing, ianya hanya akan menenggelamkan perniagaan anda.

8: Produk tidak memenuhi keperluan pelanggan
Mempunyai produk untuk dijual adalah langkah utama memulakan perniagaan. Namun, dengan mempunyai produk sahaja, tidak mencukupi. Produk yang dijual perlu dapat memenuhi keperluan pelanggan. Mungkin anda ingin jual bahan kosmetik untuk memutihkan kulit, tetapi produk anda bukan sahaja memutihkan wajah pengguna, ianya menyebabkan kulit berminyak di wajah pengguna pula. Maka, produk tersebut tidak dapat memenuhi keperluan pengguna.

9: Produk dan perkhidmatan pelanggan yang tidak berkualiti
Zaman ini, pelanggan mementingkan kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan. Oleh kerana persaingan semakin tinggi, terdapat berbagai-bagai pilihan yang boleh dibuat oleh pelanggan. Produk dan perkhidmatan yang berkualiti akan menjadi pilihan utama.

10: Gagal mengenalpasti pelanggan
Siapakah bakal pelanggan anda? Dimana komuniti bakal pelanggan anda? Apakah kemampuan kewangan bakal pelanggan anda? Bagaimana caranya anda boleh mencapai bakal pelanggan anda? Strategi perniagaan adalah menetapkan tumpuan pasaran anda (niche market). Dengan menetapkan tumpuan pasaran anda, ianya adalah lebih mudah mengenalpasti pelanggan anda untuk melakukan sebarang jualan.

11: Lemah dalam urusan kewangan
Fahami angka kewangan perniagaan anda. Pastikan setiap transaksi perniagaan diambil kira dan walaupun bunyinya mudah, namun, terlalu banyak perniagaan membelanja lebih daripada apa yang diterima. Bijak dalam berbelanja untuk perniagaan, walaupun usahawan perlu mengambil risiko kewangan, namun risiko yang terbaik adalah risiko yang telah diselidik.

12. Gagal mengikut trend semasa dan pasaran
Trend dan pasaran berubah mengikut masa. Satu ketika dulu, walkman menjadi pilihan utama muda mudi berhibur, kini trend sudah berubah menjadi pemain MP3! Usahawan perlu peka kepada trend semasa dan pasaran supaya perniagaan sering dikemaskini mengikut arus zaman.

13: Perbelanjaan overhed yang tinggi
Seringkali kos overhed memakan segala keuntungan perniagaan. Pastikan kos overhed adalah pada minimum. Kos overhed termasuk kos elektrik, kos pekerja, kos premis, kos air, kos Internet dan sebagainya. Kos overhed akan sentiasa dikenakan setiap bulan. Sekiranya kos overhed mencecah RM20,000 setiap bulan, maka, keuntungan perniagaan perlu melebihi RM20,000 hanya untuk mendapat keuntungan.

14: Tiada perancangan perniagaan
Tidak melakukan perancangan adalah merancang untuk gagal. Sediakan pelan dan langkah-langkah untuk mengembangkan perniagaan anda. Aturkan strategi pemasaran dalam mendapat pelanggan yang ramai. Perniagaan menjadi cemerlang bukan kerana nasib, tetapi kerana
perancangan perniagaan yang lengkap.

15: Perancangan tanpa tindakan
Perancangan hanyalah langkah pertama. Perancangan tanpa tindakan susulan tidak akan membuahkan hasil! Pastikan apa yang dirancang, diimplementasikan. Apa akan terjadi sekiranya apa yang dilaksanakan tidak menjadi dan gagal? Tidak mengapa, kegagalan akan mengajar anda untuk mengubah perancangan. Kegagalan adalah guru yang paling baik dalam perniagaan sekiranya anda membenarkan diri anda mempelajari dari kesilapan.

16. Gagal berhubung dengan pekerja
Sememangnya agak sukar menjalankan perniagaan dengan sendiri tanpa mengagihkan kerja kepada pihak lain. Fahami kehendak dan keperluan pekerja oleh kerana pekerja akan membantu memajukan perniagaan anda. Hubungan yang baik dengan pekerja akan memberi motivasi kepada pekerja untuk berusaha dengan lebih tinggi dalam memajukan perniagaan anda.

Dengan mengetahui dan memahami sebab-sebab kegagalan perniagaan, ianya dapat membantu anda menghindari dari kegagalan perniagaan. Namun begitu, perlu diingat juga bahawa, sekiranya sekiranya rezeki perniagaan tidak menyebelahi anda dan anda menghadapi kegagalan, gagal sekali, bukan bermaksud gagal selamanya. Teruskan usaha oleh kerana kejayaan sering
dijumpa disebalik kegagalan!


Oleh: Irfan Khairi