Tuesday, January 10, 2012

Nikah Gantung? Sah atau Tidak?

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (akad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah swt menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.” (An-Nur : 32)

Hukum Perkahwinan

Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.

Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.

Nikah Gantung

Banyak betullah istilah-istilah yang digunakan orang melayu dalam pernikahan ni, ada cina buta, ada nikah gantung dan macam-macam lagi. Nikah gantung yang saya faham adalah seperti majlis pernikahan dibuat dahulu dan majlis perkahwinan atau kenduri kemudian. Kebanyakkan orang mengatakan bahawa nikah gantung ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya zina. Sebut-sebut nikah gantung ni selalunya kita dengar kepada anak-anak muda yang masih menuntut ilmu atau mabuk bercinta, takut makwe dan pakwe dirampas orang lain, maka mereka sanggup merancang untuk kahwin gantung.

Sebelum membuat keputusan kawin gantung ni, terlebih dahulu minta izin ibu bapa dahulu, jangan buat ikut nafsu sahaja, sebab masih banyak lagi tanggungjawab yang belum kita selesaikan terutamanya tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang berharap anak mereka memdapat kejayaan dalam pelajaran dan banyak lagi. Kalau ibu bapa bagi kahwin, maka ia tidak menjadi masalah untuk melaksanakan perkahwinan. Redha ibu bapa ini penting sebab di situ ada keberkatannya. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Redha Allah itu atas redha kedua ibu bapa”.

Janganlah kita mengecewakan kedua ibu bapa kita kerana cinta dan perkahwinan tanpa redha mereka. Takut-takut hidup kita tak bahagia dan tidak aman, kerana balasan orang yang mengecewakan atau derhaka kepada kedua ibu bapa akan disegerakan balasannya di dunia.

Dalam hal yang lain juga perlu kita perhatikan, seperti tanggungjawab yang akan dipikul oleh orang yang sudah berkahwin, mampukah dia melaksanakan perkara tersebut seperti memberi nafkah, perlindungan, kebahgiaan dan sebagainya. Kalau mampu maka anda layak untuk berkahwin. Haram berkahwin bagi orang yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Boleh lihat di atas tentang hukum-hukum perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. “ (Al-Baqarah : 233)

Kahwin gantung, mestilah cukup rukun-rukun nikahnya seperti penganting lelaki, penganting wanita, dua orang saksi, wali, ijab dan qabul. Kalau cukup semua ini, maka perkahwinan tersebut sah dan bolehlah pihak penganting bersama. Ada adat melayu kita yang bercanggah dengan syarak seperti penganting yang nikah belum kenduri, tidak boleh bersama lagi. Sebenarnya perkara ini salah, kerana kenduri itu adalah sunat sahaja yang wajib itu adalah akad nikah. Tidak perlulah menghalang pengantin berjumpa atau berdua-duaan, lagipun saat itulah yang paling indah bagi pasangan pengantin.

Tidak boleh bersama bagi penganting lelaki yang belum bayar maskahwin kepada isterinya, kerana maskahwin adalah wajib, jika dia gagal membayarnya, maka dia tidak boleh lagi bersama dengan isterinya. Kalau boleh jangan berhutang maskahwin sebab dia tidak mahal. Beza dengan hantaran, kadang-kadang kita dengar hantaran sampai puluh-puluh ribu. Perkahwinan ini bertujuan untuk mencari keberkatan dan mencari kebahgiaan, janganlah sampai menyulitkan atau memayahkan pihak penganting lelaki dengan jumlah yang tinggi sehingga dia terlibat pula dengan hutang. Penganting lelaki dan perempuan boleh bersama jika wang hantaran belum dibayar, kerana hantaran adalah sunat. Tentang maskahwin pihak pengantin lelaki boleh berbincang dengan pengantin perempuan dengan cara yang baik. Kadang-kadang ada pengantin perempuan yang sanggup berikan duit maskahwin kepada suaminya untuk kegunaan tertentu seperti belajar, yuran dan sebagainya, maklumlah pengantin lelaki masih belajar. Ada setengah wanita dia tetapkan maskahwinnya murah dan ada yang minta Al-Quran sahaja. Apa-apapun berbincanglah dan selesaikanlah segala kesukaran dengan cara yang baik dan hikmah.

Penutup

Apa-apapun sebelum berbuat sesuatu, fikirkanlah dan berdoalah semoga Allah memberikan satu jalan keluar dari segala kesulitan yang berlaku. Perkahwinan ini adalah satu perkara yang baik dan banyak ganjarannya. Di antaranya terhindar dari melakukan dosa, solat boleh khusyuk, mudah melakukan ibadah dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” (Ar-Rum : 21)


Monday, January 9, 2012

Isteri untuk disayang bukan disepak terajang




KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga sudah menjadi impian setiap pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan.

Namun, timbulnya pertelingkahan dalam hubungan merupakan asam garam kehidupan berumah tangga.

Mahu tidak mahu itulah harga yang harus dibayar apabila mereka mengambil keputusan melayari bahtera bersama.

Tidak terkecuali Julia (bukan nama sebenar) yang turut mengimpikan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia di samping suami yang dikahwini atas dasar cinta.

Dia yang mula mengenali suaminya itu pada usia 16 tahun menyulam cinta selama dua tahun sebelum disunting buah hatinya itu.

Setelah setahun mendirikan rumah tangga, suami yang dikasihinya itu dilihat semakin berubah sikap. Daripada seorang yang penyayang, suaminya sering bersikap panas baran.

Tidur bawah jambatan

"Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang masa bercinta, semuanya indah. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda," ujarnya.

Ketika diajak mengimbau perjalanan hidupnya itu, air mata Julia mula bergenang apabila bercerita tentang keperitan yang pernah dilalui dalam hidupnya.

Tiada apa yang lebih menghayat hati Julia apabila dia bersama anak kecilnya itu pernah merempat di bawah jambatan Sungai Klang berdekatan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Damai, Kuala Lumpur selama satu hari.

Semuanya kerana suaminya itu tidak mampu menyewa rumah sehingga memaksa mereka berteduh di bawah jambatan. Suami Julia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikat swasta hanya mampu memperoleh pendapatan RM800 sebulan.


RUMAH Wirda terletak di Ampang Jaya yang menerima pelbagai kes wanita berdepan dengan krisis rumah tangga.

"Masa itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Sudahlah tidak mandi kami terpaksa tidur hanya beralaskan kotak dan surat khabar. Lebih menyayat hati saya kerana anak kami waktu itu baru berusia lima bulan," ujarnya sambil memberitahu perkara itu tidak akan dilupai sepanjang hayatnya.

Kesempitan hidup telah mengubah sikap suami Julia. Jika dulu sewaktu berkasih sayang, belaian dan pelukan menjadi penambat hati tetapi, selepas setahun berumah tangga ia bertukar dengan sepak terajang tanpa belas ihsan.

Tidak tahan didera suami, Julia pernah beberapa kali membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Namun, selepas dipujuk beberapa kali oleh suaminya, dia menarik semula laporan polis tersebut kerana terlalu sayangkan suami.

"Dia berjanji akan berubah setiap kali saya membuat laporan. Mungkin kerana percayakan kata-katanya itu, saya memaafkannya," tutur Julia yang turut bekerja mencuci pinggan untuk menambah pendapatan keluarga ketika itu.

Janji tinggal janji, perlakuan ganas dan kegagalan si suami mengawal sikap panas barannya langsung tidak berubah bahkan, semakin menjadi.

Akhirnya kerana sudah tidak tahan lagi membiarkan tubuhnya menjadi seperti beg tinju Julia nekad melarikan diri.

"Kalau dulu mula-mula saya larikan diri saya tidur di bawah jambatan, kali ini saya memilih untuk berlindung di masjid. Mujur saya menemui seorang imam yang akhirnya membawa saya ke rumah Pertubuhan Inisiatif Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita Selangor dan Kuala Lumpur (Wirda) yang terletak di Ampang Jaya.

"Di sini, saya mendapat perlindungan termasuk makan minum yang turut ditanggung pihak Wirda. Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya saya mendapat tempat perlindungan," ujar anak yatim piatu itu.

Bagaimanapun, Julia bertekad untuk mencari peluang pekerjaan demi menyara kos perubatan anaknya yang menghidap penyakit sawan.

Nasib sama

Nurul (bukan nama sebenar), 30, terpaksa menahan derita lebih 10 tahun kerana campur tangan ibu mertua dan jiran.


NURUL (dua dari kiri) menceritakan semula peristiwa hitam yang pernah dilalui dalam hidupnya kepada wartawan Kosmo.

Dia yang berkahwin atas dasar cinta ketika berusia 18 tahun tidak menyangka campur tangan kedua-dua pihak tersebut menyebabkan dia diceraikan talak tiga.

Nurul yang merupakan pekerja kilang mengakui, kesabaran dia memuncak kerana ditohmah dengan pelbagai fitnah.

"Cuba bayangkan, pagi keluar bekerja dan malam baru balik rumah tetapi, timbul cerita saya suka membomoh penduduk di sekitar kawasan itu.

"Bukan sahaja pelik tetapi, saya sendiri tidak mengetahui motif sebenar jiran termasuk ibu mertua saya mengada-adakan cerita-cerita sedemikian. Walaupun dikata macam-macam saya pekakkan telinga, tutup mata dengan gelagat mereka sebab sayangkan rumah tangga.

"Keadaan bertambah teruk apabila ibu mertua menyampaikan cerita-cerita terbabit kepada suami. Apabila sampai ke telinga suami, apa lagi kalau bukan sepak terajang yang saya dapat," tuturnya menahan sebak.

Bagaimanapun, episod malang itu tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya dugaan dan fitnah yang datang semakin bertimpa-timpa.

Tohmahan semakin menjadi-jadi sehingga memaksa suami terus menjatuhkan talak tiga disebabkan terlalu marah.

"Ekoran kehilangan tempat berteduh, saya menghubungi abang untuk membantu saya mencari tempat perlindungan. Kemudian dia membawa saya ke Wirda," katanya.

Bagaimanapun, Nurul tidak pernah menyesal atas nasibnya yang berkahwin muda, wanita ini reda ketentuan Ilahi untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Nasihat saya, jangan terlalu bergantung harap kepada lelaki kerana zaman bercinta dan berumah tangga amat berbeza dan sukar diramal," ujarnya.

Bagi pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, seseorang wanita yang dikahwini itu bukan untuk dikasari.

"Mereka perlu diberi kasih sayang sepenuhnya kerana golongan wanita memberikan lebih daripada itu untuk suami dan keluarga. Contohnya mereka sanggup berkorban menahan kesakitan demi melahirkan zuriat buat suami," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil seseorang wanita yang didera beliau menyarankan, golongan tersebut mesti berani bertindak dengan melaporkan perkara itu kepada ahli keluarga terdekat seterusnya pihak berkuasa.


FARIDAH (kanan) bermesra dengan anak salah seorang penghuni Wirda.

"Dengan cara itu, mereka boleh membantu diri sendiri dan menyelamatkan diri untuk keluar daripada belenggu itu.

"Jadi, jangan hanya berdiam dan melayan kesengsaraan itu seorang diri," jelasnya lagi.

Sementara itu, Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, kebiasaannya seorang wanita tidak sanggup membuat aduan laporan polis terhadap penderaan yang dilaluinya.

"Ia kerana mereka khuatir akan ditinggalkan si suami. Walau bagaimanapun, mereka perlu sedar sekiranya penderaan itu sudah mencapai pada tahap kritikal iaitu boleh membawa risiko maut jadi sudah tiba masanya untuk mereka berani tampil untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa," jelasnya.